Lipoma vs Cyst: Apa Bezanya & Bila Benjolan Perlu Dibuang?

Tiba-tiba masa mandi terasa macam ada benjolan bawah kulit.
Tak sakit. Tapi bila pegang…“Eh, benda apa ni?”
Mula-mula kecil. Lepas beberapa bulan rasa macam makin jelas pula.
Bila search dekat Google, keluar macam-macam:
Lipoma.
Cyst.
Ketumbuhan.
Terus makin risau.
Antara dua jenis benjolan yang selalu mengelirukan orang ialah lipoma dan cyst.
Nampak macam lebih kurang…
Tapi sebenarnya dua benda yang berbeza.
Apa Itu Lipoma?
Lipoma ialah benjolan yang terbentuk daripada sel lemak dan biasanya terletak di bawah kulit.
Ia selalunya membesar secara perlahan.
Bila disentuh, lipoma kebiasaannya terasa lembut atau kenyal dan boleh bergerak sedikit bila ditekan dengan jari.
Kawasan yang biasa termasuk bahu, leher, belakang badan, abdomen, lengan dan paha.
Kebanyakan lipoma tidak sakit dan bersifat benign, iaitu bukan kanser.
Sebab tu ada orang yang simpan lipoma bertahun-tahun tanpa masalah.
Kalau Cyst Pula?
Benjolan yang orang selalu panggil sebaceous cyst sebenarnya banyak kali merupakan epidermoid cyst.
True sebaceous cyst yang datang daripada kelenjar sebaceous adalah lebih jarang.
Untuk artikel ni, bila kita sebut “cyst”, kita lebih merujuk kepada epidermoid cyst yang biasa ditemui pada kulit.
Epidermoid cyst terbentuk apabila sel kulit berada lebih dalam dan menghasilkan keratin di dalam satu kantung.
Sebab tu isi cyst ni kadang-kadang nampak seperti bahan putih atau kekuningan yang pekat.
Dan ya…Kadang-kadang baunya memang agak kuat.

Jadi Apa Beza Lipoma Dengan Cyst?
Secara kasar:
Lipoma biasanya terasa lebih lembut, kenyal dan mudah bergerak sedikit di bawah kulit.
Epidermoid cyst pula biasanya lebih berbentuk bulat dan terasa agak firm. Sesetengah cyst mempunyai satu titik atau liang kecil di tengah yang dipanggil central punctum.
Cyst juga lebih mudah mengalami keradangan. Bila meradang, kawasan tu boleh menjadi:
merah, bengkak, sakit dan sensitif bila disentuh.
Kadang-kadang ia boleh pecah dan mengeluarkan bahan keratin dari dalamnya.
Lipoma biasanya tak mempunyai ciri seperti itu.

Lipoma Boleh Jadi Banyak Ke?
Boleh. Ada orang mempunyai satu sahaja.
Ada juga yang mempunyai beberapa lipoma pada bahagian badan yang berbeza.
Faktor genetik dipercayai memainkan peranan pada sesetengah individu kerana lipoma boleh berlaku dalam keluarga.
Tapi kalau tiba-tiba anda perasan banyak benjolan baru muncul atau satu benjolan berubah dengan cepat, elok dapatkan pemeriksaan.
Kalau Benjolan Tak Sakit, Kena Buang Ke?
Tak semestinya.
Untuk lipoma yang kecil, tak sakit, tidak mengganggu dan mempunyai ciri yang biasa, rawatan mungkin tidak diperlukan.
Begitu juga dengan epidermoid cyst kecil yang tidak sakit atau meradang.
Kadang-kadang doktor boleh cadangkan untuk monitor sahaja.
Maksudnya bukan semua benjolan datang klinik terus kena operate.
Jadi Bila Lipoma Mungkin Dipertimbangkan Untuk Dibuang?
Walaupun banyak lipoma tak memerlukan rawatan, pembuangan boleh dipertimbangkan bila benjolan:
semakin membesar, menyebabkan sakit, menekan struktur berhampiran, mengganggu pergerakan atau menyebabkan rasa tidak selesa kerana lokasi atau penampilannya.
Contohnya lipoma dekat bahagian yang selalu terkena tali beg atau pakaian.
Setiap hari bergesel. Lama-lama memang mengganggu. Dalam keadaan macam tu, pesakit mungkin memilih untuk membuangnya selepas berbincang dengan doktor.

Cyst Pula Bila Perlu Dibuang?
Cyst juga tak semestinya perlu dibuang kalau kecil dan tak mengganggu.
Tapi rawatan mungkin dipertimbangkan kalau cyst kerap meradang, sakit, pecah, dijangkiti, mengganggu kerana selalu bergesel atau pesakit rasa terganggu dengan kewujudannya.
Kalau cyst sedang sangat meradang, doktor mungkin perlu mengawal keradangan terlebih dahulu sebelum prosedur membuang keseluruhan cyst dilakukan.
“Saya Picit Keluar Isi Cyst, Dah Hilang Kan?”
Ini antara benda yang ramai suka cuba sendiri. Bila nampak ada titik hitam atau putih dekat cyst…Tangan tu memang gatal nak picit.
Kadang-kadang isi memang boleh keluar. Benjolan pun nampak macam dah kempis.
Tapi masalahnya ialah:
Kantung atau dinding cyst mungkin masih berada di bawah kulit.
Sebab tu cyst boleh terisi semula dan naik balik.
Sebab tu jangan pelik kalau:
“Dah pecah bulan lepas… kenapa naik balik dekat tempat sama?”
Kenapa Tak Digalakkan Picit Sendiri?
Selain risiko cyst berulang, memicit atau mencucuk cyst sendiri boleh menyebabkan kawasan kulit menjadi lebih meradang atau dijangkiti.
Kalau cyst dah merah, panas, bengkak dan sakit…Nak buat prosedur pun kadang-kadang jadi lebih susah.
Sebab tu kalau ada benjolan yang anda suspect cyst, lebih baik dapatkan pemeriksaan dahulu daripada cucuk dengan jarum dekat rumah.
Semua Benjolan Lembut Adalah Lipoma?
Tak. Walaupun ciri lipoma biasanya agak tipikal, doktor tetap perlu menilai benjolan tersebut.
Sebab ada banyak jenis ketulan yang boleh berlaku di bawah atau pada permukaan kulit.
Untuk lipoma yang mempunyai ciri biasa, pemeriksaan fizikal mungkin mencukupi.
Tapi kalau benjolan terlalu besar, berada lebih dalam atau mempunyai ciri yang pelik, doktor mungkin mencadangkan pemeriksaan tambahan seperti ultrasound, MRI, CT scan atau biopsy bergantung kepada keadaan.
Jadi jangan hanya rasa:
“Lembut. Confirm lipoma.”
Biarlah doktor check dulu.
Apa Tanda Benjolan Yang Patut Diperiksa?
Mana-mana benjolan baru pada badan sebenarnya boleh dibawa untuk pemeriksaan kalau anda tak pasti apa ia.
Lebih-lebih lagi kalau benjolan:
membesar dengan cepat, sakit, keras atau sukar bergerak, berubah rupa, pecah atau mengalami keradangan berulang.
Untuk lipoma pula, sebaiknya seseorang mendapatkan pemeriksaan bagi sebarang ketulan atau bengkak yang baru ditemui.
Tujuannya bukan nak takutkan. Tapi untuk pastikan kita tak assume semua benjolan adalah benda yang sama.
Macam Mana Prosedur Buang Lipoma atau Cyst Dibuat?
Jika doktor menilai benjolan tersebut sesuai untuk dibuang, salah satu pilihan adalah minor surgery atau pembedahan kecil.
Untuk lipoma, prosedur biasanya melibatkan pembuangan benjolan tersebut melalui satu bukaan pada kulit.
Untuk epidermoid cyst pula, doktor biasanya cuba membuang keseluruhan cyst termasuk dindingnya bagi mengurangkan kemungkinan ia berulang.
Jenis prosedur, saiz luka dan penjagaan selepas rawatan bergantung kepada lokasi serta saiz benjolan.
Doktor akan menerangkan perkara tersebut selepas pemeriksaan.

Lepas Buang Confirm Tak Tumbuh Balik?
Untuk lipoma yang berjaya dibuang sepenuhnya, ia biasanya tidak tumbuh semula pada tempat yang sama, walaupun seseorang masih boleh mendapat lipoma lain di bahagian badan yang berbeza.
Untuk cyst pula, kemungkinan berulang lebih tinggi kalau hanya isi dikeluarkan tetapi dinding cyst masih tertinggal.
Sebab tu teknik rawatan bergantung kepada keadaan cyst tersebut.
Ada Benjolan Bawah Kulit & Tak Pasti Apa?
Kalau ada benjolan yang dah lama simpan…
Makin besar.
Selalu meradang.
Sakit bila terkena pakaian.
Atau anda sendiri pun tak pasti sama ada ia lipoma, cyst atau benjolan jenis lain…
Lebih baik datang untuk pemeriksaan terlebih dahulu.
Klinik Tuah Kuantan menyediakan servis Pembedahan Kecil sebagai salah satu servis di cawangan Kuantan. Doktor boleh menilai benjolan tersebut terlebih dahulu dan menerangkan sama ada ia perlu dipantau, dirawat atau sesuai untuk prosedur pembuangan.
Tak semestinya datang untuk check benjolan…Terus kena buang hari yang sama.
Check dulu. Kenal pasti dulu. Baru decide rawatan.