Perlukan Rawatan? Kami Di Klinik Tuah Kuantan Sedia Membantu Anda Sekeluarga Need Medical Care? Klinik Tuah Kuantan Is Here for You & Your Family

Osteoarthritis Lutut: Simptom, Punca & Pilihan Rawatan Tanpa Pembedahan

“Doktor, lutut saya ni dah haus ke?”

Soalan ni memang biasa ditanya bila seseorang dah mula rasa sakit lutut setiap kali berjalan, naik tangga atau nak bangun daripada duduk.

Lebih-lebih lagi bila umur dah masuk 40-an atau 50-an.

Salah satu punca yang biasa ialah osteoarthritis lutut, atau selalu juga orang panggil sebagai OA lutut.

Tapi jangan terus fikir kalau dah kena osteoarthritis, maknanya mesti kena operate atau tukar lutut.

Sebenarnya ada banyak perkara yang perlu dinilai terlebih dahulu, termasuk tahap sakit, keadaan sendi dan sejauh mana ia dah mengganggu aktiviti harian.

Apa Sebenarnya Osteoarthritis Lutut?

Di dalam sendi lutut kita ada lapisan rawan yang membantu permukaan tulang bergerak dengan lebih lancar.

Bila berlaku osteoarthritis, struktur dalam sendi termasuk rawan mula mengalami perubahan dan kerosakan secara beransur-ansur.

Bila keadaan ni berlaku, lutut boleh mula rasa sakit, keras, kurang fleksibel dan kadang-kadang bengkak.

Osteoarthritis biasanya berlaku secara perlahan, bukan tiba-tiba dalam masa satu malam. Sebab tu ada pesakit yang pada awalnya cuma rasa “ngilu sikit”, kemudian semakin lama semakin banyak aktiviti yang mula terganggu.

Apa Tanda-Tanda Osteoarthritis Lutut?

Setiap orang boleh mengalami simptom yang berbeza.

Ada yang masih boleh berjalan jauh tapi sakit bila naik tangga.

Ada pula yang berjalan sekejap pun dah mula rasa lutut mencucuk.

Antara simptom yang biasa ialah:

Kadang-kadang simptom lebih terasa selepas bangun tidur atau selepas duduk lama.

Contohnya…

Dah duduk tengok TV sejam, bila nak bangun kena berdiri perlahan-lahan dulu sebab lutut rasa keras.

Kalau situasi macam ni selalu jadi, memang elok periksa apa puncanya.

Lutut Berbunyi Maksudnya Dah Osteoarthritis?

Tak semestinya.

Ramai orang terus risau bila lutut berbunyi setiap kali mencangkung atau naik tangga.

Bunyi pada lutut saja belum cukup untuk menentukan seseorang ada osteoarthritis.

Doktor biasanya akan tengok sekali sama ada terdapat simptom lain seperti sakit, bengkak, kekakuan atau pergerakan yang semakin terbatas.

Sebab tu jangan terus diagnosis sendiri hanya sebab dengar bunyi “kruk krak” dekat lutut.

Kenapa Osteoarthritis Lutut Boleh Berlaku?

Salah satu faktor utama memang berkait dengan peningkatan usia.

Tapi umur bukan satu-satunya sebab.

Beberapa perkara lain juga boleh meningkatkan risiko seseorang mengalami osteoarthritis lutut.

1. Pernah Mengalami Kecederaan Lutut

Kalau pernah cedera ligamen, meniscus atau mengalami kecederaan lutut yang agak serius sebelum ni, risiko untuk mengalami perubahan pada sendi kemudian hari boleh meningkat.

Kadang-kadang kecederaan tu berlaku masa muda.

Dah bertahun-tahun kemudian baru lutut mula “buat hal”.

2. Berat Badan Berlebihan

Lutut ialah sendi yang menampung berat badan kita hampir setiap kali kita berdiri, berjalan dan bergerak.

Jadi semakin banyak beban yang perlu ditampung, semakin tinggi tekanan yang dikenakan pada sendi lutut.

Sebab tu pengurusan berat badan juga merupakan salah satu perkara penting dalam pengurusan osteoarthritis lutut.

3. Penggunaan Sendi Secara Berulang

Sesetengah pekerjaan atau aktiviti harian banyak melibatkan pergerakan seperti mencangkung, mengangkat beban atau menggunakan lutut secara berulang.

Ia boleh menyumbang kepada tekanan pada sendi, terutama jika terdapat faktor risiko lain.

4. Faktor Struktur & Sejarah Keluarga

Bentuk dan penjajaran sendi, faktor genetik serta keadaan tertentu yang melibatkan sendi juga boleh mempengaruhi risiko osteoarthritis seseorang.

Jadi memang tak boleh bandingkan:

“Umur dia 65 tahun okay je lutut. Kenapa saya baru 50 dah sakit?”

Keadaan sendi setiap orang tak sama.

Osteoarthritis Ada Berapa Tahap?

Secara umum, osteoarthritis boleh berlaku daripada perubahan yang masih ringan sehinggalah kerosakan sendi yang lebih teruk.

Tapi satu perkara yang penting untuk faham:

Tahap pada X-ray tak semestinya sama tepat dengan tahap sakit seseorang.

Ada orang X-ray nampak banyak perubahan tetapi masih boleh menjalani aktiviti harian dengan baik.

Ada juga yang perubahan tak begitu teruk tetapi sakitnya sangat mengganggu.

Sebab tu doktor bukan tengok gambar X-ray sahaja.

Doktor juga akan nilai simptom dan fungsi lutut pesakit.

Macam Mana Doktor Nak Tahu Betul-Betul Osteoarthritis?

Biasanya doktor akan mula dengan bertanya tentang simptom.

Contohnya:

Lepas tu doktor akan periksa pergerakan, bengkak, kawasan yang sakit dan kestabilan lutut.

Selain tu, melalui scan juga boleh digunakan untuk melihat perubahan pada ruang sendi dan tulang.

Kalau Dah Osteoarthritis, Mesti Kena Operate?

Tak semestinya.

Ini antara salah faham yang paling biasa.

Banyak kes osteoarthritis, terutamanya yang belum terlalu teruk, boleh diuruskan terlebih dahulu dengan rawatan tanpa pembedahan.

Malah, rawatan awal biasanya lebih fokus kepada usaha untuk:

kurangkan sakit, kekalkan pergerakan dan bantu pesakit terus menjalani aktiviti harian dengan lebih selesa.

Apa Pilihan Rawatan Osteoarthritis Tanpa Pembedahan?

Rawatan bukan sama untuk semua orang.

Doktor akan tengok tahap simptom, umur, aktiviti harian, berat badan, penyakit lain dan keadaan sendi sebelum menentukan rawatan yang sesuai.

Antara pilihan yang boleh dipertimbangkan ialah:

1. Senaman & Kuatkan Otot Sekitar Lutut

Bila lutut sakit, ramai takut nak bergerak.

“Kalau saya exercise nanti lagi haus tak doktor?”

Sebenarnya, untuk kebanyakan pesakit osteoarthritis, aktiviti fizikal dan senaman yang sesuai merupakan antara bahagian penting dalam rawatan.

Senaman membantu menguatkan otot yang menyokong lutut dan mengekalkan pergerakan sendi.

Antara aktiviti berimpak rendah yang sering digunakan ialah berjalan, berbasikal atau aktiviti dalam air, bergantung pada keadaan pesakit.

Yang penting — jenis dan tahap senaman perlu sesuai dengan kemampuan lutut.

Bukan terus sakit lutut hari ni, esok pergi buat 100 kali squat pula.

2. Pengurusan Berat Badan

Kalau seseorang mempunyai berat badan berlebihan, pengurangan berat boleh membantu mengurangkan beban yang ditanggung oleh lutut.

Tak semestinya kena turun berpuluh kilogram sekaligus.

Yang penting ialah perubahan yang realistik dan boleh dikekalkan.

Bila beban pada lutut berkurang, aktiviti harian juga boleh menjadi lebih mudah untuk sesetengah pesakit.

3. Fisioterapi

Fisioterapi bukan sekadar urut bahagian yang sakit.

Ia boleh melibatkan latihan untuk:

Jenis latihan juga boleh disesuaikan mengikut keadaan setiap pesakit.

4. Ubat Untuk Mengawal Kesakitan

Dalam keadaan tertentu, doktor mungkin mencadangkan ubat untuk membantu mengawal sakit atau keradangan.

Tapi jangan biasakan makan ubat tahan sakit setiap kali lutut sakit tanpa tahu puncanya.

Sesetengah jenis ubat, terutamanya ubat anti-radang, tidak sesuai digunakan sesuka hati atau untuk tempoh yang lama bagi semua orang kerana ia juga mempunyai risiko dan kesan sampingan tertentu.

Sebab tu pilihan ubat perlu mengambil kira keadaan kesihatan individu.

5. Alat Sokongan Jika Diperlukan

Untuk sesetengah pesakit, doktor atau fisioterapis mungkin mencadangkan alat bantuan tertentu seperti tongkat atau sokongan lutut berdasarkan masalah dan keperluan pesakit.

Tujuannya bukan sebab “lutut dah rosak teruk”.

Kadang-kadang ia digunakan untuk membantu mengurangkan beban atau meningkatkan kestabilan ketika bergerak.

6. Suntikan Pada Sendi Lutut

Untuk pesakit tertentu, suntikan pada sendi juga mungkin menjadi salah satu pilihan yang dibincangkan selepas pemeriksaan.

Terdapat beberapa jenis suntikan lutut dan setiap satu mempunyai fungsi, bukti keberkesanan serta kesesuaian yang berbeza.

Bukan semua sakit lutut perlukan suntikan.

Sebab tu doktor perlu kenal pasti dulu punca dan keadaan sendi sebelum menentukan sama ada rawatan suntikan sesuai atau tidak.

Kita akan terangkan lebih detail tentang jenis-jenis suntikan lutut dalam artikel yang berasingan.

Jadi Bila Pembedahan Dipertimbangkan?

Pembedahan bukan automatik menjadi rawatan pertama hanya sebab seseorang ada osteoarthritis.

Ia biasanya dipertimbangkan apabila keadaan sendi lebih serius, simptom sangat mengganggu kehidupan harian dan rawatan bukan pembedahan tidak lagi memberikan kawalan simptom yang memadai.

Dalam keadaan tersebut, pesakit mungkin perlu dirujuk kepada pakar ortopedik untuk penilaian lanjut.

Jangan Tunggu Sampai Lutut Terlalu Susah Nak Bergerak

Kadang-kadang pesakit dah lama tahu lutut sakit.

Tapi sebab masih boleh berjalan, dia tahan dulu.

Hari-hari sapu minyak.

Bila sakit sangat baru makan ubat.

Kemudian lega sekejap, sakit datang balik.

Sampailah satu hari nak naik tangga pun dah susah.

Kalau sakit lutut dah kerap berulang atau mula mengganggu aktiviti seperti berjalan, bekerja, naik tangga atau solat, lebih baik dapatkan pemeriksaan untuk tahu apa yang sebenarnya berlaku pada sendi.

Anda boleh mendapatkan pemeriksaan sakit lutut di Klinik Tuah Kuantan dan berbincang dengan doktor mengenai pilihan rawatan yang sesuai berdasarkan keadaan lutut anda.