Suntikan Lutut: Siapa Yang Sesuai & Apa Pilihan Rawatan Yang Ada?

“Doktor, lutut saya sakit macam ni… boleh terus cucuk ke?”
Ini antara soalan yang biasa ditanya oleh pesakit sakit lutut.
Ada yang pernah dengar kawan buat suntikan lepas tu rasa lebih selesa berjalan.
Ada yang pula takut sebab fikir semua suntikan lutut adalah steroid.
Dan ada juga yang datang dengan satu request:
“Saya tak nak operate lagi doktor. Kalau boleh nak cuba rawatan lain dulu.”
Sebenarnya, suntikan lutut memang merupakan salah satu pilihan rawatan untuk sesetengah masalah lutut, terutamanya osteoarthritis.
Tapi…
Bukan semua orang sakit lutut sesuai terus buat suntikan.
Sebelum fikir nak cucuk apa, perkara paling penting ialah tahu dulu:
Kenapa lutut tu sakit?
Sakit Lutut Terus Kena Suntik?
Tak semestinya.
Sakit lutut boleh berpunca daripada macam-macam keadaan.
Contohnya:
- Osteoarthritis
- Gout
- Kecederaan meniscus
- Kecederaan ligamen
- Radang tendon
- Bursitis
- Jangkitan pada sendi
- Kecederaan selepas jatuh atau bersukan
Kalau punca sakit ialah gout, rawatannya tak sama dengan osteoarthritis.
Kalau meniscus koyak akibat kecederaan pula, pendekatannya juga berbeza.
Sebab tu kalau datang klinik dan terus tanya,
“Doktor ada suntikan lutut tak?”
Biasanya doktor masih perlu periksa dahulu sebelum boleh jawab sama ada suntikan memang sesuai untuk keadaan anda.
Jadi, Siapa Yang Mungkin Sesuai Pertimbangkan Suntikan Lutut?
Secara umum, suntikan mungkin dibincangkan untuk pesakit yang mempunyai osteoarthritis lutut atau masalah sendi tertentu dan simptom masih mengganggu walaupun rawatan awal telah dilakukan.
Contohnya seseorang yang:
- Sakit lutut dah berulang untuk tempoh tertentu
- Aktiviti harian mula terganggu
- Susah berjalan jauh atau naik tangga
- Lutut sakit setiap kali nak bangun daripada duduk
- Dah cuba senaman atau fisioterapi tetapi simptom masih mengganggu
- Perlukan pilihan lain untuk mengawal kesakitan
- Belum memerlukan atau belum sesuai menjalani pembedahan

Tapi ini bukan bermaksud cukup ada satu tanda dekat atas, terus confirm boleh cucuk.
Keputusan tetap bergantung kepada diagnosis, tahap masalah lutut dan keadaan kesihatan pesakit.
Semua Suntikan Lutut Sama Ke?
Tak sama.
Ini yang selalu buat pesakit keliru.
Bila orang sebut “cucuk lutut”, sebenarnya terdapat beberapa jenis rawatan yang berbeza.
Cara ia berfungsi pun tak sama.
Tempoh kesan pun tak sama.
Dan bukti kajian bagi setiap rawatan juga berbeza.

Antara yang biasa dibincangkan termasuklah:
1. Suntikan Corticosteroid
Suntikan corticosteroid atau orang selalu sebut sebagai steroid injection digunakan untuk membantu mengurangkan keradangan dan sakit pada sendi dalam keadaan tertentu.
Kesan suntikan ni biasanya lebih kepada kelegaan jangka pendek.
Untuk pesakit osteoarthritis tertentu, ia mungkin dipertimbangkan apabila sakit sedang kuat atau terdapat keradangan yang mengganggu pergerakan.
Tapi steroid bukanlah rawatan yang bertujuan untuk “membaiki rawan” atau menyembuhkan osteoarthritis.
Dan ia juga bukan sesuatu yang patut dicucuk berulang kali sesuka hati.
Sebab tu doktor perlu tengok:
- Keadaan lutut
- Berapa kerap simptom berlaku
- Rawatan yang pernah dibuat
- Penyakit lain yang pesakit ada
- Risiko dan manfaat kepada pesakit
Barulah boleh tentukan sama ada corticosteroid sesuai atau tidak.
2. Suntikan Gel / Hyaluronic Acid (HA)
Ini satu lagi jenis suntikan yang ramai pesakit pernah dengar.
Hyaluronic acid ialah bahan yang mempunyai sifat seperti pelincir dan memang secara semula jadi terdapat dalam cecair sendi.
Suntikan HA digunakan dengan tujuan membantu mengurangkan simptom sakit dan memperbaiki fungsi sendi bagi sesetengah pesakit osteoarthritis lutut.
Sebab tu orang selalu panggil:
“gel lutut”.
Tapi kena faham satu perkara.
Gel lutut bukan bermaksud doktor masukkan gel dan rawan yang dah haus terus tumbuh balik.
Tujuan rawatan lebih kepada membantu menguruskan simptom dan fungsi sendi.
Respons pun berbeza antara pesakit.
Ada yang rasa perubahan yang baik.
Ada yang perubahannya sedikit.
Ada juga yang mungkin tidak mendapat manfaat seperti yang diharapkan.
Malah, guideline antarabangsa juga mempunyai pendirian yang berbeza terhadap penggunaan HA secara rutin kerana keberkesanannya tidak konsisten untuk semua pesakit.
Sebab tu doktor perlu menilai kesesuaian setiap pesakit dan berbincang mengenai manfaat, limitasi serta pilihan rawatan lain sebelum suntikan dibuat.
3. PRP – Platelet-Rich Plasma
PRP pula sedikit berbeza.
Rawatan ini menggunakan darah pesakit sendiri.
Darah akan diproses untuk mendapatkan bahagian plasma yang mempunyai kepekatan platelet yang lebih tinggi sebelum disuntik ke kawasan yang ingin dirawat.

Untuk osteoarthritis lutut, terdapat kajian yang menunjukkan PRP mungkin membantu mengurangkan sakit dan memperbaiki fungsi bagi sesetengah pesakit.
Tapi hasil kajian masih tidak seragam.
Salah satu sebabnya ialah cara penyediaan PRP, kepekatan platelet dan teknik rawatan boleh berbeza antara satu tempat dengan tempat yang lain.
Jadi jangan anggap:
“PRP guna darah sendiri, confirm sesuai untuk semua orang.”
Tak semestinya.
Ia masih perlu dipertimbangkan berdasarkan keadaan pesakit dan bukti rawatan yang ada.
4. Suntikan Hydrogel Lutut
Dalam beberapa tahun kebelakangan ni, satu lagi pilihan yang semakin dibincangkan ialah injectable hydrogel.
Dan penting untuk tahu:
Hydrogel bukan benda yang sama dengan suntikan HA biasa.
Sesetengah jenis hydrogel, seperti injectable polyacrylamide hydrogel, direka untuk berada dalam lapisan synovium sendi dan memberikan kesan yang lebih berpanjangan.
Kajian jangka panjang yang diterbitkan baru-baru ini menunjukkan bahawa sesetengah pesakit osteoarthritis lutut sederhana hingga teruk masih melaporkan pengurangan simptom sehingga tempoh beberapa tahun selepas satu suntikan.
Ada data susulan sehingga 5 tahun yang menunjukkan improvement simptom masih dapat dilihat dalam kalangan sebahagian peserta kajian.
Tapi ayat pentingnya ialah:
Ini bukan bermaksud setiap pesakit yang buat hydrogel confirm akan bebas sakit selama 5 tahun.
Respons setiap orang tetap berbeza.
Kajian jangka panjang untuk rawatan ini juga masih berkembang, jadi keputusan perlu dibuat selepas doktor menerangkan manfaat, limitasi, kos dan pilihan rawatan lain yang ada.
“Jadi Doktor, Yang Mana Satu Paling Bagus?”
Kalau ada satu suntikan yang confirm terbaik untuk semua orang, senanglah kerja doktor.
Tapi realitinya memang tak macam tu.
Rawatan yang sesuai untuk seseorang bergantung kepada banyak perkara.
Antaranya:
Tahap Osteoarthritis
Pesakit dengan perubahan sendi yang masih awal tak semestinya memerlukan rawatan yang sama dengan pesakit yang osteoarthritis dah lebih lanjut.
Tahap Kesakitan
Doktor juga akan tengok sejauh mana sakit tersebut mengganggu kehidupan.
Sakit sekali-sekala selepas berjalan jauh tak sama dengan sakit sampai setiap kali nak solat pun susah nak bengkokkan lutut.
Umur & Aktiviti Harian
Keperluan pesakit umur 45 tahun yang masih aktif bekerja mungkin berbeza dengan seseorang yang berumur 75 tahun.
Rawatan Yang Dah Pernah Dicuba
Doktor akan tanya sama ada pesakit pernah mencuba:
- Senaman
- Fisioterapi
- Pengurusan berat badan
- Ubat
- Suntikan sebelum ini
- Rawatan lain
Semua maklumat ni membantu doktor menentukan pilihan seterusnya.
Suntikan Boleh Pulihkan Rawan Lutut Yang Dah Haus?
Ini satu perkara yang sangat penting untuk clear.
Untuk osteoarthritis, matlamat kebanyakan suntikan adalah lebih kepada:
mengurangkan simptom, membantu fungsi sendi dan memudahkan pesakit bergerak dengan lebih selesa.
Ia bukan jaminan bahawa rawan yang telah rosak akan kembali menjadi seperti lutut muda.
Sebab tu hati-hati kalau dengar claim seperti:
“Cucuk ni sekali, cartilage confirm tumbuh balik.”
Rawatan osteoarthritis lebih kompleks daripada itu.
Kalau Dah Buat Suntikan, Tak Perlu Exercise Dah?
Tak boleh macam tu juga.
Suntikan bukan tiket untuk kita terus tinggalkan semua penjagaan lutut yang lain.
Bagi kebanyakan pesakit osteoarthritis, rawatan biasanya lebih baik bila digabungkan dengan perkara lain seperti:
- Aktiviti fizikal yang sesuai
- Senaman menguatkan otot
- Pengurusan berat badan jika perlu
- Fisioterapi
- Penyesuaian aktiviti harian
- Rawatan sakit mengikut nasihat doktor
Bayangkan macam kereta.
Kita tukar satu komponen, tapi tayar botak, alignment lari dan servis pun tak pernah buat.
Memang tak cukup.
Begitu juga dengan lutut.
Suntikan hanyalah salah satu bahagian daripada keseluruhan pelan rawatan.
Bila Tak Patut Terus Fikir Pasal Suntikan?
Kalau lutut tiba-tiba:
- Sangat sakit
- Bengkak dengan cepat
- Merah dan panas
- Disertai demam
- Tak boleh memijak langsung
- Berubah bentuk selepas jatuh
- Sakit kuat selepas kecederaan
Jangan terus cari tempat nak cucuk gel.
Keadaan macam ni perlu dinilai terlebih dulu kerana doktor perlu memastikan tiada masalah lain seperti kecederaan serius, gout atau jangkitan pada sendi.
Kalau ada jangkitan, contohnya, pengurusannya memang sangat berbeza.
Sebelum Suntikan, Doktor Check Apa?
Biasanya doktor akan mula dengan sejarah simptom dan pemeriksaan fizikal.
Doktor mungkin tanya:
- Dah berapa lama sakit?
- Bahagian mana paling sakit?
- Sakit bila berjalan atau masa rehat?
- Ada bengkak?
- Pernah cedera?
- Pernah buat suntikan sebelum ni?
- Ada gout?
- Ada penyakit kronik atau ambil ubat tertentu?
Doktor kemudian akan periksa pergerakan, kawasan yang sakit, bengkak dan kestabilan lutut.

Untuk sesetengah keadaan, pemeriksaan tambahan seperti ultrasound mungkin digunakan jika diperlu.
Barulah doktor boleh berbincang:
Adakah suntikan perlu?
Dan kalau perlu…
Suntikan jenis apa yang lebih sesuai untuk keadaan pesakit tersebut?
Suntikan Lutut Sakit Tak?
Ini pun antara soalan favourite.
“Doktor, jarum besar tak?”
Tahap ketidakselesaan boleh berbeza bagi setiap orang.
Kebanyakan prosedur suntikan sendi dilakukan dalam tempoh yang singkat.
Pesakit mungkin rasa sedikit cucukan, tekanan atau ketidakselesaan semasa prosedur.
Selepas suntikan pula, sesetengah orang boleh mengalami rasa sakit atau tidak selesa sementara pada kawasan suntikan.
Doktor akan memberikan nasihat penjagaan selepas prosedur berdasarkan jenis suntikan yang dibuat.
Lepas Cucuk Terus Boleh Jalan Macam Biasa?
Ini bergantung kepada jenis suntikan dan keadaan pesakit.
Secara umum, pesakit biasanya akan diberikan arahan mengenai aktiviti yang perlu dielakkan sementara selepas prosedur.
Jangan fikir lepas keluar klinik terus boleh pergi hiking Bukit Panorama pula. 😅
Ikut dahulu nasihat doktor mengenai rehat dan aktiviti selepas rawatan.
Suntikan Lutut Boleh Elakkan Pembedahan?
Suntikan boleh menjadi salah satu pilihan rawatan bukan pembedahan untuk membantu mengawal simptom bagi pesakit tertentu.
Tapi kita tak boleh janjikan bahawa seseorang yang buat suntikan tidak akan memerlukan pembedahan sepanjang hidup.
Osteoarthritis boleh berubah dari masa ke masa.
Kalau kerosakan sendi dah terlalu teruk dan simptom masih sangat mengganggu walaupun rawatan bukan pembedahan telah dicuba, penilaian oleh pakar ortopedik untuk pilihan pembedahan mungkin diperlukan.
Jadi objektifnya bukan:
“Nak elak operation walau apa pun jadi.”
Tapi lebih kepada:
“Apa rawatan yang paling sesuai dengan keadaan lutut saya sekarang?”
Jangan Pilih Suntikan Sebab Kawan Kata Bagus
Kawan buat gel, lega.
Jiran buat PRP, okay.
Saudara buat hydrogel, dia suka.
Baguslah kalau mereka mendapat manfaat.
Tapi lutut mereka bukan lutut kita.
Diagnosis mungkin berbeza.
Tahap osteoarthritis mungkin berbeza.
Umur, berat badan, aktiviti dan keadaan kesihatan pun tak sama.
Sebab tu rawatan lutut memang susah kalau nak guna konsep:
“Dia buat bagus, saya pun nak benda sama.”
Lebih baik periksa dahulu dan faham keadaan lutut sendiri.
Nak Tahu Sama Ada Anda Sesuai Untuk Suntikan Lutut?
Kalau sakit lutut dah berulang, semakin susah naik tangga, sakit bila nak bangun atau dah mula mengganggu berjalan dan solat, anda boleh mendapatkan pemeriksaan terlebih dahulu di Klinik Tuah Kuantan.
Doktor akan menilai keadaan lutut dan berbincang mengenai pilihan rawatan yang sesuai berdasarkan simptom, diagnosis serta keperluan anda.
Kalau suntikan memang sesuai, barulah jenis rawatan yang bersesuaian boleh dibincangkan.
Kalau tak perlu suntikan, rawatan lain juga boleh dipertimbangkan.
Tak semestinya datang klinik sakit lutut, terus kena cucuk.