Perlukan Rawatan? Kami Di Klinik Tuah Kuantan Sedia Membantu Anda Sekeluarga Need Medical Care? Klinik Tuah Kuantan Is Here for You & Your Family

Tangan Selalu Kebas? Kenali Carpal Tunnel Syndrome & Tanda-Tandanya

Pernah tengah malam tiba-tiba terjaga sebab tangan kebas?

Kena kibas-kibas tangan dulu…

Baru rasa lega sikit.

Atau masa pegang steering, telefon atau buat kerja lama-lama, jari mula rasa semut-semut dan mencucuk?

Ramai akan fikir:

“Salah tidur kot.”

Sekali dua mungkin kita tak ambil kisah.

Tapi kalau simptom ni dah selalu berulang, salah satu keadaan yang doktor mungkin pertimbangkan ialah Carpal Tunnel Syndrome atau CTS.

Apa Itu Carpal Tunnel Syndrome?

Dekat pergelangan tangan kita terdapat satu ruang sempit yang dipanggil carpal tunnel.

Melalui ruang ni terdapat tendon dan satu saraf penting yang dipanggil median nerve.

Saraf median membantu memberikan deria kepada beberapa jari dan turut mengawal sebahagian pergerakan pada ibu jari.

Bila ruang dalam carpal tunnel menjadi sempit atau terdapat tekanan pada median nerve, seseorang boleh mula mengalami kebas, rasa mencucuk dan kelemahan pada tangan.

Inilah yang kita panggil Carpal Tunnel Syndrome.

Jari Mana Yang Selalu Kebas?

Ini bahagian yang menarik.

Carpal Tunnel Syndrome biasanya melibatkan:

ibu jari, jari telunjuk, jari tengah dan sebahagian jari manis.

Jari kelingking selalunya tidak terlibat kerana derianya dibekalkan oleh saraf yang berbeza.

Sebab tu kalau seseorang datang dengan semua lima jari kebas atau kebas bermula daripada leher sampai ke tangan, doktor mungkin perlu fikirkan punca lain juga.

Tak semua tangan kebas adalah Carpal Tunnel.

Kenapa Selalu Lagi Teruk Waktu Malam?

Ramai pesakit CTS cerita benda yang sama:

“Siang okay lagi doktor. Malam memang selalu terjaga.”

Salah satu sebabnya ialah posisi pergelangan tangan ketika tidur.

Tanpa sedar kita mungkin tidur dengan pergelangan tangan dalam keadaan terlalu membengkok.

Bila posisi tersebut meningkatkan tekanan pada median nerve, simptom kebas dan tingling boleh menjadi lebih ketara.

Sebab tu ada pesakit yang automatik akan bangun dan kibas-kibas tangan untuk cuba mengurangkan rasa kebas.

Apa Lagi Simptom Carpal Tunnel?

Pada peringkat awal, simptom boleh datang dan pergi.

Hari ni ada. Esok okay.

Lepas guna tangan lama sikit, sakit datang balik.

Selain rasa kebas, pesakit mungkin rasa seperti semut-semut, mencucuk atau kejutan elektrik pada jari.

Bila keadaan semakin ketara, tangan juga boleh terasa lemah.

Sampai ada pesakit mula perasan:

“Kenapa sekarang selalu terlepas barang?”

Cawan senang jatuh.

Nak buka penutup botol susah.

Pegang barang kecil pun rasa tak kuat seperti dulu.

Dalam CTS yang lebih lama atau teruk, otot di sekitar pangkal ibu jari juga boleh menjadi lemah.

Kerja Guna Komputer Selalu Confirm Kena Carpal Tunnel?

Ini salah satu mitos yang menarik.

Ramai terus kaitkan CTS dengan:

“Saya typing banyak sangat.”

Pergerakan tangan dan posisi pergelangan tertentu memang boleh membuat simptom bertambah teruk.

Tetapi bukti untuk mengatakan penggunaan keyboard sahaja sebagai punca langsung CTS sebenarnya tidak begitu jelas.

Jadi tak boleh cakap:

“Kerja office mesti kena carpal tunnel.”

Tak semudah tu.

Jadi Apa Yang Boleh Tingkatkan Risiko Carpal Tunnel?

Biasanya bukan satu faktor sahaja.

Bentuk pergelangan tangan seseorang boleh memainkan peranan.

Kecederaan atau patah pergelangan tangan juga boleh mengubah ruang carpal tunnel.

Selain itu, keadaan yang menyebabkan keradangan atau perubahan cecair dalam badan boleh meningkatkan tekanan pada median nerve.

CTS juga lebih kerap dikaitkan dengan beberapa keadaan seperti kehamilan, obesiti, rheumatoid arthritis, masalah tiroid dan beberapa masalah kesihatan lain.

Sebab tu doktor akan tengok keseluruhan keadaan pesakit, bukan tangan sahaja.

Ibu Mengandung Pun Boleh Kena Carpal Tunnel?

Ya.

Semasa kehamilan, perubahan dan pengekalan cecair dalam badan boleh meningkatkan tekanan dalam carpal tunnel bagi sesetengah wanita.

Sebab tu ada ibu mengandung yang tiba-tiba mula rasa tangan kebas walaupun sebelum mengandung tak pernah ada masalah.

Dalam banyak kes yang berkaitan dengan kehamilan, simptom boleh bertambah baik selepas kehamilan.

Tangan Kebas Mesti Sebab Carpal Tunnel?

Tak semestinya.

Ini penting.

Kebas tangan juga boleh berlaku akibat masalah pada saraf di tempat lain.

Contohnya saraf yang terhimpit pada bahagian leher atau masalah saraf lain.

Sebab tu lokasi kebas sangat membantu doktor.

Kalau jari kelingking pun kebas, simptom datang daripada leher, ada sakit menjalar sepanjang lengan atau coraknya tidak tipikal untuk median nerve, doktor mungkin perlu menilai diagnosis lain.

Jangan diagnose CTS hanya berdasarkan satu video TikTok dan terus beli wrist support. 

Macam Mana Doktor Check Carpal Tunnel?

Doktor akan mulakan dengan corak simptom.

Jari mana yang kebas?

Waktu bila selalu terjadi?

Ada terjaga malam?

Pegang steering lama-lama jadi kebas?

Tangan dah mula lemah?

Kemudian doktor akan memeriksa deria, kekuatan tangan dan melakukan beberapa pemeriksaan pada pergelangan tangan.

Dalam keadaan tertentu, ultrasound boleh digunakan untuk melihat median nerve.

Ujian nerve conduction study atau electromyography pula boleh membantu mengukur fungsi saraf dan melihat sama ada terdapat kerosakan saraf, terutama jika diagnosis atau tahap masalah perlu diperjelaskan.

Carpal Tunnel Mesti Kena Operate?

Tak.

Kalau simptom masih ringan atau sederhana dan dikesan awal, rawatan bukan pembedahan mungkin boleh dipertimbangkan.

Salah satu rawatan yang biasa ialah wrist splint, terutamanya ketika tidur, untuk membantu memastikan pergelangan tangan berada dalam posisi yang lebih neutral.

Pengubahsuaian aktiviti juga mungkin membantu jika terdapat pergerakan tertentu yang selalu mencetuskan simptom.

Dalam keadaan tertentu, doktor boleh mempertimbangkan suntikan corticosteroid untuk membantu mengurangkan simptom dengan mengurangkan bengkak dan tekanan pada saraf.

Rawatan tetap bergantung kepada tahap simptom dan keadaan pesakit.

Bila Pembedahan Dipertimbangkan?

Kalau simptom dah teruk atau rawatan bukan pembedahan tidak membantu secukupnya, pembedahan carpal tunnel release mungkin dipertimbangkan.

Tujuan prosedur tersebut ialah memberikan lebih ruang kepada median nerve dan mengurangkan tekanan ke atasnya.

Tapi tak bermaksud:

Tangan kebas dua hari terus kena operation.

Doktor perlu tengok berapa lama simptom berlaku, tahap kebas, kekuatan tangan dan sama ada terdapat tanda kerosakan saraf.

Kenapa Tak Elok Tunggu Terlalu Lama?

Kadang-kadang pesakit dah bertahun-tahun ada simptom.

Malam kebas, kibas tangan. Esok okay. Kemudian repeat lagi minggu depan.

Sebab simptom boleh datang dan pergi, ramai rasa tak perlu risau.

Masalahnya, kalau tekanan pada saraf berterusan dalam CTS yang teruk, kerosakan saraf dan otot boleh berlaku.

Sebab tu kalau kebas dah mengganggu tidur atau aktiviti harian, elok dapatkan pemeriksaan.

Bila Patut Jumpa Doktor?

Kalau tangan kebas sekali-sekala sebab tidur atas tangan, mungkin tak perlu terlalu risau.

Tapi kalau kebas dah kerap berulang, selalu terjaga malam, rasa mencucuk tak hilang, tangan semakin lemah atau barang mula senang terlepas, itu masa yang sesuai untuk buat pemeriksaan.

Lebih awal punca dikenal pasti, lebih mudah untuk doktor menentukan langkah seterusnya.

Tangan Selalu Kebas Sampai Ganggu Tidur?

Kalau hampir setiap malam kena bangun kibas tangan…

Atau siang hari pegang telefon dan steering pun jari dah mula kebas…

Jangan terus anggap ia sekadar salah tidur.

Anda boleh datang ke Klinik Tuah Kuantan untuk mendapatkan pemeriksaan awal dan berbincang dengan doktor mengenai simptom yang dialami.

Jika pemeriksaan lanjut atau rawatan lain diperlukan, doktor boleh menasihatkan langkah seterusnya berdasarkan keadaan anda.